Subhanallah..! Imam Muda Ini Hafaz 30 Juzuk Al-Quran Dan Bakal Bergelar Doktor,Inspirasi Untk Anak Muda

Namanya mula tular sekitar awal bulan Jun tahun ini tatkala wajahnya terpapar dalam video, sedang mengimamkan solat terawih di sebuah masjid di Cyberjaya. Video yang dimuatnaik oleh seorang pengguna laman Facebook mendapat lebih dari 1.4 juta tontonan dan 29,000 perkongsian.

Terpanggil untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pemuda ini, penulis telah menghubungi beliau untuk bertanyakan beliau beberapa soalan.

Menurut Syazwan, video berkenaan diambil semasa beliau berada di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya. Belaiu sebenarnya merupakan seorang pelajar tahun akhir jurusan perubatan dan pembedahan dari Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS).

Selain sibuk menghadiri kelas dan menuntut ilmu, beliau juga sebenarnya seorang Imam Rawatib (tambahan) masjid tersebut. Imam Rawatib merupakan Imam yang dipilih oleh anak Qaryah sesuatu masjid dan disahkan oleh Majlis.

Lebih mengagumkan adalah apabila anak kedua dari empat adik beradik itu telah menghafaz 30 juzuk Al-Quran semasa beliau menuntut di Darul Quran dahulu. Dan terbaru, beliau kini sedang menjalani latihan praktikal di Hospital Kajang sebagai persediaan sebelum bergelar doktor perubatan.

Syazwan menyatakan bahawa sepanjang Ramadhan lalu, selain menjadi Imam solat terawih di Cyberjaya, beliau turut memenuhi jemputan di kawasan lain seperti, Shah Alam, Puchong, Kedah mahupun Klang.

Tambah Syazwan, pada kebiasaannya beliau akan mengambil masa setengah jam untuk membaca Al-Quran sebagai persediaan untuk melancarkan baac ketika mengimamkan solat.

Di akhir perbualan Syazwan menjelaskan bahawa baginya, kehidupan dunia dan akhirat perlulah diseimbangkan. Al-Quran adalah sokongan kuat untuk kejayaan kerjaya hakiki dan bukanlah bebanan.

Video Klik Disini

Sumber : Syazwan Basli

Ganjaran hafal al-Quran

Al-Quran mengandungi pelbagai cabang ilmu duniawi dan ukhrawi. Ia kitab yang diturunkan kepada umat manusia yang mengandungi perintah dan panduan Ilahi.

Hal ini bukan takwilan ulama sebaliknya dijelaskan Allah SWT di dalam al-Quran menerusi firman-Nya bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad). Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Surah Sad, ayat 29)

Apa lagi yang ingin kita ragukan mengenai kelebihan orang yang membaca, memahami maksud ayat al-Quran serta menjaga al-Quran dalam hati mereka.

Orang yang mendekatkan dirinya kepada al-Quran akan dapat keistimewaan luar biasa seperti yang dijanjikan.

Usaha menghafal al-Quran bermakna seseorang individu itu lidahnya sentiasa dibasahi dengan Kalamullah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran, baginya satu kebaikan. Satu kebaikan akan digandakan sepuluh. Aku tidak mengatakan ‘alif lam mim’ itu satu huruf, akan tetapi, alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi)
Cuba bayangkan kita dapat melihat anak sendiri memanfaatkan masa dalam kehidupannya membaca dan menghafal ayat al-Quran.

Tidak perlu lagi disuruh, mereka akan membaca al-Quran pada setiap masa kerana itu sudah menjadi tuntutan kerana usahanya yang sedang menghafal al-Quran.

Berapakah agaknya pahala kebaikan yang bakal diterima oleh dirinya?

Apa yang pasti, ibu bapa juga turut menerima saham kebaikan daripada usaha anak itu.

Persepsi negatif yang dilemparkan sesetengah pihak mengenai institusi tahfiz di negara ini perlu diperbetulkan.

Tidak dinafikan wujudnya pihak tidak bertanggungjawab menggunakan label maahad tahfiz atau sekolah tahfiz untuk mengaut habuan dunia seperti mengutip derma secara salah, namun hal itu tidak boleh dijadikan alasan untuk melemparkan persepsi negatif terhadap institusi tahfiz secara total.

Pihak kerajaan contohnya perlu melihat ruang penyaluran bantuan kepada sekolah tahfiz khususnya yang dibuka secara persendirian.

Golongan akademik pula boleh membantu pihak tahfiz memperkasakan sukatan pengajian bagi anak tahfiz supaya mereka tidak mengabaikan keperluan akademik semasa.

Alumni sekolah tahfiz yang berjaya dalam pelbagai bidang perlu kembali ke tempat mereka mengenali al-Quran untuk menyumbang tenaga, idea dan dana bagi membantu pihak institusi tahfiz.

Masyarakat juga memainkan peranan penting dalam usaha memperkasakan institusi tahfiz di negara ini.

Persepsi sekolah tahfiz tidak mampu melahirkan golongan profesional perlu dibuang jauh-jauh.

Anak yang berada di sekolah tahfiz bukan daripada kalangan insan yang tiada harapan masa depan dan ketinggalan pelajaran.

Mereka sebenarnya permata yang bakal membawa rahmat sekiranya usaha mereka dibantu dan disokong sepenuhnya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan ini sebuah Kitab (al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya dan bertakwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.” (Surah al-An’am, ayat 155)

Usaha pihak Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan silibus Tahfiz Ulul Albab perlu diberi pujian kerana menawarkan pakej pembelajaran berteraskan al-Quran.

Selain itu, inisiatif lain yang sedang dilaksanakan adalah Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT).

Kurikulum itu digubal bagi melahirkan generasi yang bukan saja mampu menghafal al-Quran, juga menguasai ilmu al-Quran serta ilmu akademik lain yang turut dipelajari rakan mereka di sekolah biasa.

Semua usaha itu dijangka dapat melahirkan generasi huffaz dalam kalangan golongan profesional dalam bidang masing-masing.

Malah, golongan itu juga mempunyai pengetahuan agama yang kuat melalui penghafalan al-Quran serta ilmu berkaitan al-Quran.

Itulah komitmen besar yang perlu diperkemas dan diperkasakan secara kolektif oleh semua pihak termasuk setiap individu Muslim.

Jangan ada lagi suara sumbang yang cuba merendahkan usaha pihak lain melahirkan golongan huffaz di negara ini.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW berkaitan al-Quran menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sungguh dengan sebab kitab (al-Quran) ini, Allah akan mengangkat sekelompok kaum dan dengannya pula Dia akan merendahkan sekelompok kaum yang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Jom join group Ceramah Apa Hari Ini (CAHI) , Sama2 Kita Mencari Serta Berkongsi Ilmu… insyaAllah bermanfaat disana.. TQ
Ingin Sertai –> Klik Di Sini