Saksi Cerita Detik Sebelum Berlakunya Tanah Runtuh,”Ada Macam Bunyi Pelik”

“BUNYI tanah runtuh sangat pelik… seperti petir berdentum,” ujar Anjuzil Andrew yang menyaksikan pergerakan tanah turun dari kawasan berbukit di lokasi kejadian pada petang Khamis.

Menceritakan kejadian di Jalan Teratai 1/2J, Taman Bukit Permai 2 Ampang, Selangor itu, Anjuzil yang bekerja sebagai kontraktor Air Selangor memberitahu, pada masa kejadian dia bersama empat lagi rakan sedang membuat kerja-kerja mengorek bagi mencari paip di kawasan sekitar bukit berkenaan kira-kira pukul 4 petang.

“Dalam pukul 5, hujan turun dan kami beredar duduk dalam lori untuk berteduh. Kami datang dengan dua lori, saya bersama supervisor manakala pemandu bersama dua lagi pekerja warga Bangladesh.

“Disebabkan bekerja sebagai kontraktor, kami perlu memaklumkan keadaan semasa kepada juruteknik Air Selangor.

“Jadi rakan saya yang juga pemandu bersama pekerja Bangladesh keluar untuk ambil gambar kawasan kerja yang dilakukan.

“Tiba-tiba pukul 5.30 petang berlaku tanah runtuh dan kami semua keluar dari lori untuk menyelamatkan diri. Saya mencari pemandu yang pergi mengambil gambar tapi tak jumpa… hanya nampak telefon bimbit dia sahaja,” ceritanya.

Keadaan semasa operasi mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa tertimbus.
Menurut Anjuzil yang berasal dari Sabah ini, semasa mencari dia melihat pemandunya sudah tertimbus sehingga paras dada.

“Pekerja Bangladesh yang pergi bersamanya untuk ambil gambar dilihat cuba mengorek tanah dengan tangan nak tolong keluarkan pemandu tapi tak sempat.

“Kami hanya berjaya menyelamatkan diri sahaja,” ujarnya sedih ketika ditemui wartawan di lokasi kejadian.

Melihatkan kejadian yang berlaku dengan matanya sendiri, Anjuzil mengakui tanah runtuh berlaku dengan sangat pantas dan hanya dalam beberapa saat sahaja ia sudah menimbus kawasan sekitar termasuk rumah berhampiran.

Tambahnya, dia berdoa supaya rakan pemandunya yang berbangsa India berjaya diselamatkan pasukan penyelamat.
Dalam kejadian tersebut, tiga mangsa dikhuatiri masih tertimbus, manakala dua lagi sudah ditemui.

Mangsa pertama berjaya dikeluarkan jam 6.54 petang manakala mangsa kedua yang dipercayai pasangannya ditemui jam 7.53 malam namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.15 malam.

Pasukan penyelamat kini berusah mengesan tiga lagi mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus membabitkan dua penduduk perumahan itu dan seorang pekerja kontraktor syarikat penyelenggaraan Air Selangor.

Sumber:TrendingSangat

Sudah Baca Jangan Lupa Like & Kongsikan Ya.. Terima kasih..

Jom sertai group Lecture What Today (CAHI), sama-sama kita mencari dan berkongsi ilmu… insyaAllah bermanfaat di sana.. TQ
Mahu Sertai –> Klik Di Sini