Jambatan Runtvh Gara2 Pem4ndu L0ri Cuba Elakkan Sekat4n Jalan Raya, 5 Kampung Terjejas [Vide0]

Bachok: Lima kampung terjejas gara-gara tindakan seorang pemandu lori memandu kenderaan berat itu menggunakan jambatan Kampung Nyor Kembar, di sini, sehingga runtuh ketika mahu mengelak daripada melalui sekatan jalan raya (SJR).Jambatan Runtuh Gara-gara Pemandu Lori Cuba Elakkan Sekatan Jalan Raya, 5 Kampung Terjejas

Dalam kejadian jam 6.20 petang semalam, pemandu lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai cuba mengelak SJR di Kampung Padang Melintang, di sini, sebelum masuk ke laluan tikus menghala jambatan berkenaan.

Lori terbabit yang membawa muatan batu dan pasir menyebabkan jambatan itu runtuh kerana terlebih ketinggian dan had muatan.

Penghulu Mukim Tanjung Jering, Mohamed Nasir Yusoff berkata, jambatan itu hanya boleh dilalui kenderaan berketinggian tidak lebih 2.5 meter dan had muatan satu tan sahaja.

Katanya, pemandu lori itu dipercayai membawa lebih 10 tan muatan itu tetap cuba menyeberangi jambatan itu mengakibatkan jambatan berusia lebih 30 tahun yang menjadi laluan kepada Kampung Tanjung Jering, Tanjung Jenera, Pengkalan Stol, Sri Sentosa, Gong Mundu dan Nyor Kembar terputus hubungan dengan jalan besar.

“Selain itu, tiga kampung sama iaitu Tanjung Jering, Sri Sentosa dan Nyor Kembar turut terjejas apabila paip air bawah jambatan itu pecah kerana paip itulah bekalan utama air ke tiga kampung berkenaan.

“Ini menyebabkan 200 keluarga ketiadaan air sejak petang semalam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Mohamed Nasir berkata, jambatan itu adalah laluan utama penduduk untuk ke jalan besar atau ke Pasar Beris Kubur Besar atau Masjid Mukim Tanjung Jering.

Katanya, kerana tindakan tidak bertanggungjawab pemandu itu, penduduk terpaksa menggunakan laluan lain yang mengambil masa lebih 20 minit dan jauh untuk ke jalan besar berbanding hanya 10 minit melalui jambatan dengan jarak hanya 1.5 kilometer.

Bagi Abdullah Zakaria, 59, dari Kampung Sri Sentosa, dia terpaksa mengeluarkan wang bagi membeli bekalan air selepas terputus bekalan petang semalam.

Katanya, keadaan itu menyukarkan dia dan enam beranak lain yang tinggal bersama selain terpaksa mandi di masjid.

“Saya harap keadaan ini dapat diperbaiki segera kerana sukar untuk kami bergerak membeli air tambahan pula sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, tiada kecederaan dilaporkan dan pemandu lori itu selamat dalam insiden itu.

Katanya, siasatan awal mendapati, lesen serta semua dokumen perjalanan pemandu lori berkenaan adalah sah dan tidak melanggar apa-apa undang-undang selain dia tidak mempunyai rekod jenayah.

“Lori berkenaan berjaya dialihkan jam 8 malam dan kita sedang menyiasat punca kenapa pemandu lori melalui jambatan itu,” katanya.

VIDEO:

Beliau berkata, jambatan berkenaan ditutup dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan sehingga dibaikpulih dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Harian Metro / sajagempak / Via Mediaportal

Jom sama2 join group ni.. Khas untuk sama2 kita share menu puasa korang nnti..inshaAllah bermanfaat disana..TQ
Nak Join –> Klik Disini